|
2006-01-05 |
SELAMAT DATANG 2006(M) DAN 1427(H) |
Selamat bertemu dalam tahun baru. Kali ini istimewa kerana 1 Januari 2006 diikuti dengan 1 Muharam 1427 tidak sampai selang sebulan. Selamat Tahun Baru kepada Muslimin dan Selamat Tahun Baru Masehi kepada yang meraikannya. Semoga tahun baru membuka lembaran baru yang lebih cerah dan bererti kepada kita semua, masyarakat Taman Seroja.
PPTS telah melalui tahun 2005 dengan jayanya. Antara aktiviti utama ialah Kempen Kesedaran Kesihatan dan Gotong-Royong Perdana (6 Mac), Mesyuarat Agung PPTS (24 April), Maulidul Rasul (21 April), sukaneka dan Hari Keluarga (18 Jun - 31 Julai) dan Majlis Hari Raya (4 Disember). Badan-badan di bawah naungan PPTS, Jawatankuasa Surau Taman Seroja dan Badan-badan Kejiranan Zon terus cemerlang dengan aktiviti masing-masing.
Entiti baru, KAFA Integrasi Baitul Hikmah Taman Seroja (di SKTS) dan TBK Perpaduan Taman Seroja juga sangat memberangsangkan. KAFA Integrasi yang beroperasi bagi tahun pertamanya dengan lebih 700 murid, menjadi Johan Keseluruhan Amal Islami daerah Sepang dan mencapai 82.6% kelulusan PSRA 2006. TBK Perpaduan pula menjadi TBK cemerlang dengan Pengerusi pengurusannya dianugerahi Penjaga Contoh peringkat Selangor. Syabas! Tahun ini kita semua perlu lebih tekun dan komited untuk meningkatkan kecemerlangan. Kita sedia maklum, individu cemerlang ialah yang sentiasa memastikan `hari ini lebih baik daripada semalam, sementara esok lebih baik daripada hari ini'. Masyarakat cemerlang pun begitu juga. Tentu sasaran kita untuk menjadi masyarakat gemilang dan terbilang.
PPTS ada beberapa rancangan bagi tahun 2006: Mesyuarat Agung PPTS (26 Mac - tandakan diari anda - tahun ini ada pemilihan!), Sukaneka (30 Julai), Hari Kemerdekaan (30/31 Ogos) dan Majlis Hari Raya (19 November). PPTS yakin, Badan-badan Kejiranan Zon akan terus meningkatkan aktiviti kejiranan. Jawatankuasa Surau (PPTS) akan terus rancak dengan kuliah dan ceramah, sambutan hari-hari kebesaran Islam dan aktiviti kemasyarakatan. Badan Khairat dan Kompang.com akan diberi susunan baru. KAFA Integrasi dan TBK Perpaduan, Insya Allah terus cemerlang.
Dalam masa yang sama, PPTS juga mensasarkan; Taman Seroja diwartakan sebagai Sektor Rukun Tetangga pada tahun 2006!
Yang lain? Sdr penduduk Taman Seroja tentu ada agenda-agenda cemerlang untuk mencapai masyarakat gemilang. Mari kita bersama-sama menumpukan usaha ke arah itu. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi ia tidak mengubah nasibnya sendiri. Bertolong-bantulah kita semua dalam perkara kebaikan dan taqwa. Hayati moto kita `Muafakat Berwawasan'. Insya Allah kita semua berjaya di dunia dan akhirat.
YDP PPTS, 1 Januari 2006 |
Oleh Deinonychus LeYNuX @ 4:36 PTG |
|
|
| |